Saturday, 22 March 2014

ARTIKEL 1: TERAPKAN ETIKA PERNIAGAAN


Artikel pertama yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan ini diharapkan mampu menjadi tarikan pengunjung ke blog ini. Selamat membaca semua :)

SETIAP hari, kita boleh lihat situasi orang yang tidak beretika. Paling tidak pun ketika memandu kenderaan. Semasa kesesakan lalu lintas, terdapat pemandu tanpa segan silu, memotong kenderaan lain melalui lorong kecemasan. Pemanduan tidak beretika yang hanya mementingkan diri sendiri amat berbahaya untuk pengguna kenderaan lain.

Kerakusan" pemandu-pemandu Malaysia dengan memandu secara berbahaya diiktiraf" oleh warga asing yang menetap di sini. Berbeza dengan negara-negara maju seperti England, Australia dan New Zealand, pengguna kenderaan cukup berhemah dan beretika di jalan raya. Mereka mematuhi undang-undang tanpa ragu-ragu. Paling penting mereka tidak mementingkan diri sendiri.

Selain bukti di atas, contoh terbaru yang paling mengejutkan dunia seni tanah air ialah sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem KL Gengster 2 di laman sosial, YouTube walhal belum lagi ditayangkan di pawagam. Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Oktober ini.

Saya tidak dapat bayangkan betapa kecewanya penerbit dan pembuat filem tersebut yang bertungkus lumus selama dua tahun untuk menyiapkan filem itu tetapi akhirnya telah dimuat naik dalam YouTube sebelum sampai masanya.

Sikap tidak beretika juga berlaku ke atas penulis-penulis tempatan apabila terdapat pihak dengan mudah mencedok hasil penulisan orang lain tanpa memberi sebarang penghargaan kepada penulis asal. Mereka ini tidak langsung mempedulikan etika penulisan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

Sebagai seorang pendidik di menara gading dalam pengkhususan pengauditan, elemen etika adalah antara yang diajar kepada para pelajar. Kebetulan pula, para pelajar Universiti Utara Malaysia sentiasa diasuh supaya sentiasa beretika. Umpamanya, etika berpakaian para pelajar supaya sentiasa kemas dan sopan. Ini bermaksud penerapan budaya etika cukup penting untuk mengubah masyarakat kita agar lebih baik. Dengan kombinasi penguatkuasaan undang-undang dan menerapkan budaya beretika, kehidupan masyarakat kita akan lebih baik.

Sebagai contoh, dalam bidang pengauditan, Lembaga Pengawasan Pengauditan (AOB) berperanan besar untuk memastikan juruaudit-juruaudit luar bertingkah laku mengikut etika pengauditan.
Sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan. Ini kerana juruaudit luar bertanggungjawab ke atas pelaporan pengauditan syarikat.

Etika bukan sahaja dalam profesion pengauditan semata-mata tetapi dalam semua aspek kehidupan kita. Sebagai contoh dalam isu kenaikan harga makanan ekoran pengumuman kerajaan ke atas rasionalisasi subsidi minyak, tidak keterlaluan dikatakan terdapat peniaga-peniaga di Malaysia yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan. Minyak naik 20 sen, sekeping roti canai juga naik 20 sen! Alasan minyak naik!

Saya tidak dapat bayangkan betapa tamaknya peniaga-peniaga sebegini. Budak kecil pun tahu berfikir secara logik untuk menolak alasan tersebut. Jika peniaga-peniaga sebegini beragama Islam, adakah mereka tidak memahami konsep keberkatan? Menindas pembeli dan pengguna dengan cara sebegini? Malangnya perkara ini tetap berlaku setiap kali pengumuman rasionalisasi subsidi minyak.

Jadi apa yang perlu dibuat untuk mengubah sikap peniaga sebegini? Setakat memberi amaran tiada gunanya kerana ia tidak menggerunkan mereka. Bahkan, penguat kuasa seolah-olah dipermainkan apabila terdapat peniaga dengan beraninya menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati mereka. Apakah langkah jangka masa panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang?

Salah satu cara yang boleh dilaksanakan adalah dengan memupuk budaya etika di kalangan peniaga. Bagaimana modus operandinya? Dengan cara memperkenalkan modul etika perniagaan di kalangan peniaga.
Perkara ini sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan kerana hanya dengan mendidik elemen etika kepada mereka di samping bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang, insya-Allah, tingkah laku para peniaga yang tidak beretika boleh diubah menjadi lebih beretika.

Jika boleh, wujudkan kod etika peniaga dan usahawan agar mereka sentiasa menyedari kepentingan beretika. Sejak akhir-akhir ini pun, syarikat senaraian awam Malaysia amat mementingkan etika.
Malahan, tadbir urus korporat yang diuar-uarkan cukup baik untuk syarikat senaraian awam juga telah mula dipertikaikan kerana tiadanya elemen etika dalam memastikan budaya sihat, adil dan tidak menindas mana-mana pihak.

Tadbir urus korporat hanya sekadar menanda kotak (box-ticking) berdasarkan kod tadbir urus korporat. Ia tidak menggambarkan elemen terpenting dalam berniaga iaitu amanah dan jujur.
Kepentingan etika ini bukan setakat di kalangan usahawan dan tokoh korporat bagi syarikat senaraian awam sahaja tetapi juga buat seluruh peniaga di Malaysia. Jika boleh, diinstitusikan budaya etika di kalangan peniaga.

Walaupun nampak mudah di atas kertas dan sukar untuk dilaksanakan, namun jika ia dilaksanakan secara menyeluruh, nescaya akan berlaku perubahan sikap di kalangan peniaga. Tidak mustahil, dalam tempoh jangka masa panjang, peniaga-peniaga kita akan lebih memikirkan hak pengguna berbanding mengaut keuntungan untuk diri sendiri sahaja.

Budaya tidak baik seperti menindas pengguna dan pembeli perlu diubah secara berhemah. Ini kerana ia sudah sebati dalam dunia perniagaan.

Kalau tidak, mana mungkin berlakunya pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah. Ketamakan manusia mengatasi sikap kebertanggungjawaban ke atas masyarakat. Dengan bertingkah laku secara beretika, masyarakat kita akan hidup dengan lebih baik kerana masing-masing mengetahui hak orang lain. Ingatlah, keberkatan dalam berniaga mengatasi kepentingan mengejar kekayaan materialistik.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130911/re_01/Terapkan-etika-perniagaan