Artikel pertama yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan ini diharapkan mampu menjadi tarikan pengunjung ke blog ini. Selamat membaca semua :)
SETIAP
hari, kita boleh lihat situasi orang yang tidak beretika. Paling tidak pun
ketika memandu kenderaan. Semasa kesesakan lalu lintas, terdapat pemandu tanpa
segan silu, memotong kenderaan lain melalui lorong kecemasan. Pemanduan tidak
beretika yang hanya mementingkan diri sendiri amat berbahaya untuk pengguna
kenderaan lain.
Kerakusan" pemandu-pemandu Malaysia dengan
memandu secara berbahaya diiktiraf" oleh warga asing
yang menetap di sini. Berbeza dengan negara-negara maju seperti England,
Australia dan New Zealand, pengguna kenderaan cukup berhemah
dan beretika di jalan raya. Mereka mematuhi undang-undang tanpa ragu-ragu.
Paling penting mereka tidak mementingkan diri sendiri.
Selain
bukti di atas, contoh terbaru yang paling mengejutkan dunia seni tanah air ialah sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memuat
naik filem KL Gengster 2 di laman sosial, YouTube walhal belum lagi ditayangkan
di pawagam. Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di pawagam
tempatan bermula 3 Oktober ini.
Saya
tidak dapat bayangkan betapa kecewanya penerbit dan pembuat filem tersebut yang
bertungkus lumus selama dua tahun untuk menyiapkan filem itu tetapi akhirnya
telah dimuat naik dalam YouTube sebelum sampai masanya.
Sikap
tidak beretika juga berlaku ke atas penulis-penulis tempatan apabila terdapat
pihak dengan mudah mencedok hasil penulisan orang lain tanpa memberi sebarang
penghargaan kepada penulis asal. Mereka ini tidak
langsung mempedulikan etika penulisan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?
Sebagai
seorang pendidik di menara gading dalam
pengkhususan pengauditan, elemen etika adalah antara yang diajar kepada para
pelajar. Kebetulan pula, para pelajar Universiti Utara Malaysia sentiasa diasuh
supaya sentiasa beretika. Umpamanya, etika berpakaian para pelajar supaya
sentiasa kemas dan sopan. Ini
bermaksud penerapan budaya etika cukup penting untuk mengubah masyarakat kita
agar lebih baik. Dengan kombinasi penguatkuasaan undang-undang dan menerapkan
budaya beretika, kehidupan masyarakat kita akan lebih baik.
Sebagai
contoh, dalam bidang pengauditan, Lembaga Pengawasan Pengauditan (AOB) berperanan
besar untuk memastikan juruaudit-juruaudit luar bertingkah
laku mengikut etika pengauditan.
Sebarang
pelanggaran etika akan dikenakan tindakan. Ini kerana juruaudit luar
bertanggungjawab ke atas pelaporan pengauditan syarikat.
Etika
bukan sahaja dalam profesion pengauditan semata-mata tetapi dalam semua aspek
kehidupan kita. Sebagai contoh dalam isu kenaikan harga makanan ekoran
pengumuman kerajaan ke atas rasionalisasi subsidi minyak, tidak keterlaluan
dikatakan terdapat peniaga-peniaga di Malaysia yang tidak beretika dalam
menjalankan perniagaan. Minyak naik 20 sen, sekeping roti canai juga naik 20
sen! Alasan minyak naik!
Saya
tidak dapat bayangkan betapa tamaknya peniaga-peniaga sebegini. Budak kecil pun
tahu berfikir secara logik untuk menolak alasan tersebut. Jika peniaga-peniaga
sebegini beragama Islam, adakah mereka tidak memahami konsep keberkatan?
Menindas pembeli dan pengguna dengan cara sebegini? Malangnya perkara ini tetap
berlaku setiap kali pengumuman rasionalisasi subsidi minyak.
Jadi
apa yang perlu dibuat untuk mengubah sikap peniaga sebegini? Setakat memberi
amaran tiada gunanya kerana ia tidak menggerunkan mereka. Bahkan, penguat kuasa
seolah-olah dipermainkan apabila terdapat peniaga dengan beraninya menaikkan
harga makanan dan minuman sesuka hati mereka. Apakah langkah jangka masa
panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang?
Salah
satu cara yang boleh dilaksanakan adalah dengan memupuk budaya etika di
kalangan peniaga. Bagaimana modus operandinya? Dengan cara memperkenalkan modul
etika perniagaan di kalangan peniaga.
Perkara
ini sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan kerana hanya dengan mendidik
elemen etika kepada mereka di samping bertegas dalam menguatkuasakan
undang-undang, insya-Allah, tingkah laku para peniaga yang tidak beretika boleh
diubah menjadi lebih beretika.
Jika
boleh, wujudkan kod etika peniaga dan usahawan agar mereka sentiasa menyedari
kepentingan beretika. Sejak akhir-akhir ini pun, syarikat senaraian awam
Malaysia amat mementingkan etika.
Malahan,
tadbir urus korporat yang diuar-uarkan cukup baik untuk syarikat senaraian awam
juga telah mula dipertikaikan kerana tiadanya elemen etika dalam memastikan
budaya sihat, adil dan tidak menindas mana-mana pihak.
Tadbir
urus korporat hanya sekadar menanda kotak (box-ticking) berdasarkan kod tadbir
urus korporat. Ia tidak menggambarkan elemen terpenting dalam berniaga iaitu
amanah dan jujur.
Kepentingan
etika ini bukan setakat di kalangan usahawan dan tokoh korporat bagi syarikat
senaraian awam sahaja tetapi juga buat seluruh peniaga di Malaysia. Jika boleh,
diinstitusikan budaya etika di kalangan peniaga.
Walaupun
nampak mudah di atas kertas dan sukar untuk dilaksanakan, namun jika ia
dilaksanakan secara menyeluruh, nescaya akan berlaku perubahan sikap di kalangan
peniaga. Tidak mustahil, dalam tempoh jangka masa panjang, peniaga-peniaga kita
akan lebih memikirkan hak pengguna berbanding mengaut keuntungan untuk diri
sendiri sahaja.
Budaya
tidak baik seperti menindas pengguna dan pembeli perlu diubah secara berhemah.
Ini kerana ia sudah sebati dalam dunia perniagaan.
Kalau
tidak, mana mungkin berlakunya pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.
Ketamakan manusia mengatasi sikap kebertanggungjawaban ke atas masyarakat.
Dengan bertingkah laku secara beretika, masyarakat kita akan hidup dengan lebih
baik kerana masing-masing mengetahui hak orang lain. Ingatlah, keberkatan dalam
berniaga mengatasi kepentingan mengejar kekayaan materialistik.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130911/re_01/Terapkan-etika-perniagaan